JEMAAH di Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP
JEMAAH di Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP
Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah, Jumaat lalu, membabitkan pesakit yang koma di hospital Arab Saudi.

Ia menjadikan jumlah kematian direkodkan Malaysia pada Musim Haji 1444H/2023M kini meningkat kepada empat kes, selepas dua jemaah wanita menghembuskan nafas terakhir pada 4 dan 19 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kematian ketiga membabitkan seorang jemaah lelaki berusia 72 tahun disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru, manakala kes keempat juga jemaah lelaki berumur 60 tahun akibat serangan angin ahmar dan kegagalan jantung.

"Kedua-dua jemaah Malaysia itu adalah antara tiga pesakit yang tidak dibawa ke Arafah untuk berwukuf, Selasa lalu, kerana berada dalam keadaan koma di hospital Arab Saudi.

"Saya dan pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengucapkan takziah kepada waris mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah, semalam.

Mohd Na'im berkata, beliau bersama Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman; berkesempatan menyantuni balu kedua-dua jemaah lelaki berkenaan yang turut berada di Tanah Suci.

Setakat ini katanya, seramai 95 jemaah Malaysia masih berada dalam wad di Pusat Rawatan TH Makkah, manakala 15 lagi di hospital Arab Saudi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia selesai melaksanakan ibadah Rukun Islam kelima pada Musim Haji 1444H/2023M. Mereka tidak termasuk dua jemaah yang meninggal dunia dan tiga lagi koma sebelum berwukuf.

Daripada jumlah itu, seramai 13,219 jemaah melakukan Nafar Awal, kelmarin, manakala bakinya melaksanakan Nafar Thani, semalam.

"Insya-Allah, jemaah haji Malaysia akan berangkat pulang mulai 5 Julai ini dan penerbangan terakhir dijangkakan pada 31 Julai dengan membabitkan sejumlah 98 penerbangan.

"Jemaah kumpulan penerbangan (KT) pertama akan bergerak dari maktab masing-masing terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na'im memaklumkan, beliau menerima teks pesanan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan TH meraih Anugerah Labbaittom (Kategori Perkhidmatan Terbaik Pejabat Urusan Haji).

Anugerah itu disampaikan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, kepada Mohd Na'im pada majlis di Makkah, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 8:21 AM