Perkarangan Masjid Nabawi di Madinah.
Perkarangan Masjid Nabawi di Madinah.

Putrajaya: Kenaikan kadar harga hotel di Makkah dan Madinah yang dikenakan oleh pengusaha adalah di luar kawalan Kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na'im Mokhtar berkata, pihaknya memahami perkara ini dan ia sedikit sebanyak membangkitkan keresahan kepada jemaah umrah.

Menurutnya, pihaknya melihat situasi ini disebabkan impak daripada kenaikan kos di Arab Saudi.

Katanya, perkara itu sudah tentu memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah negara ini, bahkan kepada jemaah negara lain.

"Bagaimanapun, saya mengharapkan agensi umrah dapat mempertimbang ruang dan kaedah terbaik supaya kenaikan kos keseluruhan yang dikenakan tidak melampau sehingga membebankan bakal jemaah," katanya di Facebooknya, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan bakal jemaah umrah diminta bersiap sedia sekiranya dimaklumkan berlaku kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan masing-masing pada saat-saat akhir sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.

Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Mohd Azri Abdul Razak berkata, kenaikan harga itu berlaku berpunca daripada kenaikan mendadak kadar harga hotel di Makkah dan Madinah, pada masa ini.

Katanya, peningkatan harga hotel itu mengakibatkan harga pakej umrah yang sudah ditetapkan oleh segelintir agensi pelancongan, terpaksa dinaikkan.

Mohd Na'im berkata, ketika ini, beliau berada di Arab Saudi mewakili negara untuk menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023.

Katanya, selain berbincang isu-isu berkaitan pengurusan haji dan umrah, beliau juga akan mengemukakan isu kenaikan kos berkenaan kepada menteri haji dan umrah Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 10:05 AM