Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika berucap pada majlis pelancaran Kampung Angkat MADANI dan Kaamatan Kampung Kaiduan Papar hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika berucap pada majlis pelancaran Kampung Angkat MADANI dan Kaamatan Kampung Kaiduan Papar hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Papar: Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2024 akan berkuat kuasa selama tujuh hari bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebanyak lapan barangan akan diwartakan di bawah skim berkenaan.

"SHMMP Pesta Kaamatan akan bermula pada 27 Mei hingga 2 Jun manakala SHMMP hari Gawai pula berkuat kuasa pada 29 Mei hingga 4 Jun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani dan Pesta Kaamatan Kampung Kaiduan di sini hari ini.

Beliau berkata barangan terbabit di bawah skim berkenaan sempena Pesta Kaamatan ialah kepak ayam, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), cili kering keriting, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) dan babi hdiup (peringkat ladang).

Bagi SHMMP Hari Gawai pula membabitkan barangan seperti ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), cili kering keriting, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak), dan babi hidup (peringkat ladang).

Armizan berkata lapan jenis barangan berkenaan dipilih berikutan permintaan tinggi sepanjang musim perayaan itu dan kerajaan mahu memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan harga barang tidak dikawal setiap kali tiba musim perayaan.

"Selain itu barangan ini juga dipilih setelah proses libat urus dengan pihak industri terbabit dan kita dapat kerjasama baik dengan pihak industri untuk sama-sama melaksanakan SHMMP ini," katanya.

Beliau berkata SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDN akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.

"Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini melalui AKHAP 2011," katanya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.kpdn.gov.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:04 PM