SALAHUDDIN Ayub (kiri) meninjau bekalan telur pada pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan di Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
SALAHUDDIN Ayub (kiri) meninjau bekalan telur pada pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan di Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyenaraikan lapan barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan berkuatkuasa hari ini hingga 2 Jun depan.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia bertujuan menstabilkan harga barangan semasa berikutan permintaan terhadap barangan yang dijangka meningkat menjelang perayaan, semasa perayaan dan beberapa hari selepas perayaan.

"Sebanyak lapan jenis barangan dikawal di bawah pelaksanaan skim ini. Selain itu, enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur sedang dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari 2022.

"Senarai lapan jenis barangan yang dikawal itu adalah kepak ayam, cili kering leper, daging kerbau import (India), bawang kecil merah (India), bawang putih (China), babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak," katanya pada pelancaran SHMMP Pesta Kaamatan, di Pasaraya Bataras, Kolombong, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, berdasarkan pemerhatiannya, beberapa barangan yang dijual dalam skim itu lebih rendah berbanding harga siling yang ditetapkan KPDN.

Katanya, ia menggambarkan kerjasama peniaga untuk bersama-sama dengan pihak kementerian bagi menjayakan skim berkenaan.

Beliau berkata, pegawai penguatkuasa KPDN turut ditugaskan di lokasi strategik seperti di pusat membeli belah barangan keperluan perayaan bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang ditetapkan.

"Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan yang mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

"Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya," katanya.

Beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sambutan Kaamatan atau Pesta Menuai dirayakan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) di Sabah sepanjang Mei dengan kemuncaknya pada 30 dan 31 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 3:14 PM