Tinjauan harga bawang yang dijual susulan kejatuhan ringgit di Pasar Chow Kit. FOTO ASYRAF HAMZAH
Tinjauan harga bawang yang dijual susulan kejatuhan ringgit di Pasar Chow Kit. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Rata-rata peniaga sayur mengakui kejatuhan nilai Ringgit memberi kesan terhadap harga beberapa sayuran diimport seperti bawang merah besar, bawang putih dan tomato.

Peniaga sayur yang hanya mahu dikenali sebagai Syam, 34, mengakui kejatuhan nilai Ringgit memberi 'sedikit' kesan apabila harga bawang merah besar yang dijual.

"Sebelum ini bawang merah besar dijual sekitar RM30 ke RM32 bagi satu guni 6 kilogram (kg). Tetapi harganya meningkat mencecah RM38.

"Selain bawang merah besar, tomato juga mengalami kenaikan kepada RM9 sekilogram. Sebelum ini harga tomato yang dijual hanyalah sekitar RM5 hingga RM6.

"Selain faktor nilai Ringgit, kami difahamkan negara seperti India sedang mengadakan pilihan raya dan mereka menyekat import bawang," katanya ketika ditemui Harian Metro di Pasar Chow Kit di sini, semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 9 Januari lalu dilapor mengakui berlaku kenaikan harga bawang India susulan sekatan dikenakan negara India ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan kerajaan India itu susulan mereka menyekat import bawangnya sehingga 31 Mac ini berikutan negara itu berdepan pilihan raya.

Mengulas lanjut, Syam berkata, selain bawang merah besar dan tomato, bawang putih juga mengalami kenaikan sejak beberapa bulan lalu.

Seorang lagi peniaga sayur, Chan,32, turut mengakui berlaku kesan harga barangan dijual susulan kejatuhan Ringgit.

"Tomato kini dijual pada harga RM8 sekilogram berbanding RM7 seminggu lalu. Begitu juga harga bawang besar yang meningkat mendadak.

"Bagi sayuran tempatan, harga masih kekal sama dan ada yang mengalami penurunan harga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:35 PM