Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
Izz Laily Hussein


Pontian: Umno tidak ada kaitan dan tidak terbabit sama sekali dalam menarik sokongan dua Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, memandangkan Kerajaan Perpaduan kini memiliki 148 Ahli Parlimen, maka tiada keperluan untuk mereka menarik sokongan daripada pihak pembangkang.

Beliau berkata, tiada mana-mana pimpinan Umno yang terbabit dalam memujuk Ahli Parlimen PN walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah menarik sokongan 16 ahli Parlimen Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebelum ini.

"Perdana Menteri tidak ada menyuruh sesiapa (pujuk pembangkang untuk sokong beliau). Saya berada di bawah beliau, saya timbalan beliau (Kementerian Kewangan), tidak pernah disuruh untuk saya melakukan perkara - perkara sebegitu kerana kerajaan sekarang kuat dan stabil.

"Sebagai contoh, Belanjawan 2024 tiada pembangkang yang bangkit untuk belah bahagi dan pengundian, kerana mereka (pembangkang) tahu kehadiran begitu ramai di pihak kerajaan tidak mungkin mereka menang sebarang undian di Parlimen," katanya selepas merasmikan Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata, semua Ahli Parlimen kini tidak kira daripada mana-mana parti sudah terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.

"Jika sebelum ini, lompat melompat parti ini memang terjadi apabila kerajaan tidak stabil. Namun, pada masa kini sudah ada Akta Anti Lompat Parti, Ahli Parlimen sudah tidak boleh keluar daripada parti mereka.

"Mereka boleh nyatakan sokongan saja, tetapi jika mereka keluar daripada parti, akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan mereka berdasarkan undang-undang Akta Anti Lompat Parti.

"Apa yg berlaku kepada Kuala Kangsar (Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) dan Labuan (Datuk Suhaili Abdul Rahman) mereka tidak keluar daripada Bersatu, tetapi mereka nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri," katanya.

Isnin lalu, Suhaili dalam satu kenyataan, menyatakan sokongannya kepada Anwar dan ia dibuat selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 3:14 PM