MOHD Amar Nik Abdullah.
MOHD Amar Nik Abdullah.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: PAS bersedia berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya keputusan mengatakan enam kerusi Ahli Parlimen daripada BERSATU dikosongkan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun memaklumkan perkara itu perlu keputusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan ianya mengambil masa yang agak lama.

"Mengikut maklumat yang kita terima, pimpinan Bersatu bersetuju meminda perlembagaan dan menerusi perlembagaan itu, mana-mana ahli yang keluar atau memberi sokongan kepada parti lain akan terlucut jawatan mereka.

"Namun, pindaan berkenaan perlu mendapat kelulusan ROS, prosesnya lama dan tidak tahu bila. Namun jika kata berlaku PRK, kita bertanding lah," katanya selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Bersatu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasssin, berkata jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, yang mana kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Berita berkaitan:

Umno, BN akan tanding di 6 kerusi Bersatu jika berlaku PRK - Ahmad Zahid

Ahli Parlimen Jeli serahkan kepada proses perundangan tentukan kedudukannya

Mohd Azizi akan cabar di mahkamah jika ROS lulus pindaan Bersatu

UMNO Gua Musang sedia hadapi PRK

Bersatu pinda perlembagaan parti, lucut keahlian wakil rakyat tidak sealiran dengan parti

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 10:54 AM