KHAIRY ketika bersiaran dalam podcast Keluar Sekejap
KHAIRY ketika bersiaran dalam podcast Keluar Sekejap
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melaksanakan reformasi institusi seperti yang diperjuangkan sebelum menjadi Perdana Menteri.

Khairy atau KJ berkata, reformasi institusi, mesti diinstitusikan bahawa selagi seseorang itu adalah wakil rakyat yang sah dan dipilih dalam pilihan raya, beliau layak untuk menerima peruntukan sama-rata.

"Bukan kena datang, jangan sombong, bincang elok. Itu bukan reformasi institusi.

"Kalau reformasi institusi, mesti diinstitusikan bahawa selagi dia adalah wakil rakyat yang sah dipilih dalam pilihan raya, beliau layak untuk menerima peruntukan sama-rata.

"Inilah perkara yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan rakan-rakan beliau sewaktu mereka berada di dalam pembangkang," katanya pada podcast Keluar Sekejap yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) iaitu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Suhaili mendedahkan selepas kira-kira seminggu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, beliau mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, KJ berkata, tindakan keempat-empat ahli Bersatu berkenaan bukan saja mendedahkan kelompongan dalam pindaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) tetapi turut menghina Perlembagaan.

"Mereka sudah zahirkan sokongan kepada Perdana Menteri yang sudah mengundang tindakan disiplin daripada parti Bersatu yang menggantung mereka… Asasnya, secara prinsipnya, mereka sudah mengalih sokongan daripada parti asal kepada parti lain.

"Tetapi, oleh kerana mereka tidak keluar daripada parti, mereka tidak kena dengan pindaan Perlembagaan," katanya.

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan adalah pindaan baru yang digubal untuk menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti.

Peruntukan itu digubal dalam dua bahagian. Perkara 49A (1) dan Perkara 49A (2).

KJ berkata, Perkara 49A (2) memberi tiga pengecualian iaitu sekiranya parti ahli Parlimen itu dibatalkan, kedua jika seseorang ahli Parlimen meletakkan jawatan atau keluar dari parti kerana dipilih menjadi Speaker Dewan dan ketiga dipecat daripada parti politik.

"Inilah intipati utama akta atau undang-undang lompat parti yang sebenarnya bukan RUU persendirian tetapi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan… Ia sudah membuka kelompongan macam sekarang.

"Iaitu kalau kita tidak lompat parti tetapi mengisytiharkan sokongan kepada orang lain sebagai Perdana Menteri yang berlainan dengan keputusan parti, maka, ia adalah okay," katanya.

KJ berkata, tindakan yang dilakukan oleh empat ahli Parlimen itu, kini menyebabkan Bersatu tersekat.

Katanya, jika empat-empat ahli Bersatu itu dipecat, mereka masih kekal sebagai ahli Parlimen disebabkan klausa dua.

"Ironinya, saya masih lagi ingat, waktu draf pertama dibentangkan kepada jemaah menteri berkenaan dengan akta lompat parti yang disediakan oleh Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Beliau letak dalam draf asal di mana sekiranya mana-mana ahli parlimen itu melanggar pendirian dan prinsip parti, kedua kalau ahli parlimen itu gagal mengikut pendirian parti di Parlimen… Dia dianggap melanggar undang-undang dan kena kosongkan kerusi," katanya.

Bagaimanapun, KJ berkata, antara yang paling lantang menentang draf ini adalah ahli Parlimen daripada Bersatu.

"Menteri-menteri daripada Bersatu, daripada Perikatan Nasional (PN) sekarang. Atas alasan mereka tidak mahu memberi kuasa terlalu besar kepada parti.

"Ironinya, orang-orang yang bantah draf asal, sekarang ini menjadi mangsa kepada draf yang sudah dipinda dan diluluskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 11:30 AM