Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan akan memastikan hal yang menyentuh secara langsung kepentingan rakyat akan dikecualikan susulan cadangan untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus dalam Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar cukai perkhidmatan ini tidak membabitkan perkhidmatan yang digunakan oleh majoriti rakyat umpamanya perkhidmatan seperti makan-minum, telekomunikasi parkir kenderaan dan ia kekal kadar kadar enam peratus.

"Termasuk yang disebut logistik, pembrokeran, penajaminan dan karaoke. Tetapi mengenai logistik itu memang betul kita sedang halusi.

"Dan ini tentunya akan dicerakin tatkala kita bentangkan secara terperinci," katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2024 sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus, berbanding enam peratus.

ANWAR yang juga Menteri Kewangan ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. FOTO Bernama
ANWAR yang juga Menteri Kewangan ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 8:18 PM