Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada 8.0 berbanding 6.0 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun agar tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Katanya, kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke.

"Ini sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab meluaskan asas hasil.

"Mulai tahun depan, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara, pada masa sama tidak membebankan majoriti rakyat.

"Selepas mengambil kira input pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

"Kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan," katanya pada pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar 5.0 hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

Beliau berkata, Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai rendah.

"Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, kerajaan dijangka akan melaksanakan cukai minimum global pada 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro.

"Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, berkaitan pelaksanaan e-invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), kerajaan akan mengambil kira maklum balas yang diterima dan bagi memberikan cukup masa kepada pembayar cukai.

Kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024.

"Manakala, pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh mulai 1 Julai 2025.

"Selain itu, Nombor Pengenalan Cukai (TIN) akan diperluas penggunaannya untuk menyokong pelaksanaan e-invois.

"Ini dapat melebarkan lagi jaringan pembayar cukai susulan pematuhan cukai secara sukarela yang seterusnya mengurangkan ketirisan hasil," katanya.

Liputan langsung Belanjawan 2024

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 4:57 PM
KAKITANGAN awam mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KAKITANGAN awam mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah