GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Institut Percukaian Malaysia (CTIM) menjangkakan tiada pemotongan cukai untuk individu atau korporat tetapi lebih banyak butiran lanjut mengenai cukai barangan mewah (LGT) dan mekanisme cukai keuntungan modal (CGT) dalam Belanjawan 2024 akan datang.

Presiden Chow Chee Yen berkata kadar cukai untuk individu dijangka dikekalkan kerana perubahan telah dibuat dalam Belanjawan 2023 seperti pengurangan cukai pendapatan dua mata peratusan bagi mereka yang berpendapatan antara RM35,001 dan RM100,000.

"Dijangka tiada pemotongan cukai kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk meluaskan asas cukainya," katanya kepada Bernama dalam menyatakan harapan CTIM untuk Belanjawan 2024 melalui e-mel baru-baru ini.

Chow berkata pelepasan cukai peribadi untuk individu mungkin dipertingkatkan sejajar dengan kenaikan kos sara hidup, contohnya dengan menggabungkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelepasan cukai insurans serta meningkatkan kuantumnya.

"Mungkin terdapat keperluan untuk menyelaraskan beberapa bantuan peribadi supaya selaras dengan keperluan semasa rakyat," katanya.

Bagi entiti korporat, beliau berpendapat bahawa potongan cukai khas dan insentif cukai mungkin dicadangkan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang berkaitan dengan tadbir urus cukai korporat, prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pelaksanaan sistem e-invois.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober depan.

Kadar cukai barangan mewah diunjurkan antara tiga hingga lima peratus

Chow percaya kerajaan sedang meneliti pelaksanaan LGT dan sedang mengkaji amalan terbaik di negara lain dan cara ia boleh dilaksanakan di Malaysia pada kadar diunjurkan antara tiga hingga lima peratus."

LGT yang akan dikenakan ke atas barangan mewah tertentu tahun ini untuk mengembangkan asas cukai, dicadangkan dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula, ia dibentangkan pada Februari 2023.

Bagaimanapun, tiada butiran mengenainya sejak pengumuman itu.

Dalam belanjawan sama yang disemak semula, kerajaan juga berkata ia akan mengkaji untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar lebih rendah.

"Saya menjangkakan Belanjawan 2024 akan mengeluarkan butiran tentang mekanisme cukai keuntungan modal dan LGT," kata Chow.

Cukai barangan bernilai rendah munkin akan dilaksanakan semula

Chow juga menganggap bahawa cukai barangan bernilai rendah (LVG) mungkin akan dilaksanakan semula walaupun terdapat kebimbangan mengenai kesannya terhadap kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada bulan Mac tahun ini berkata bahawa ia telah menangguhkan pelaksanaan cukai LVG 10 peratus yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 April 2023, disebabkan keadaan ekonomi yang lemah.

Mengenai pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Chow berkata kerajaan mungkin akan melaksanakannya pada masa yang sesuai, GST telah dimansuhkan pada 2018.

Mengenai cukai karbon, beliau percaya mungkin terdapat lebih banyak insentif untuk menggalakkan amalan rendah karbon dalam perniagaan tetapi mekanisme dan kadar cukai yang sesuai akan memerlukan perbincangan dan perundingan dengan pihak berkepentingan.

Masa yang tepat untuk menyemak langkah cukai makmur

Bagi Cukai Makmur terhadap industri sawit, Chow bersetuju bahawa adalah tepat pada masanya untuk menyemak perkara berkenaan bagi meringankan beban pekebun kecil.

Beliau berkata ia bukan perkara baharu di Malaysia, negara lain telah menjadikan ia sebagai sumber hasil tetapi mungkin sudah tiba masanya untuk disemak semula.

"Seiring dengan aspirasi untuk memastikan pengagihan kekayaan yang lebih baik dan mengurangkan jurang pendapatan, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyalurkan hasil yang dikutip kepada industri sawit untuk membantu pekebun kecil," katanya.

Chow berkata Cukai Makmur dikenakan ke atas industri tertentu apabila keadaan ekonomi membolehkan mereka mendapat keuntungan melebihi purata yang ketara.

"Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dan terdapat levi tiga peratus semasa terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan metrik di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 setan metrik di Sabah dan Sarawak, negeri pengeluar sawit terbesar di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 3:22 PM