ISMAIL Sabri ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Cadangan kerajaan untuk menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari enam kepada lapan peratus adalah langkah kurang tepat berbanding dengan sistem percukaian lain yang lebih efisien.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kenaikan itu tidak membabitkan makanan dan minuman, ia akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang turut mendorong kenaikan kepada barang-barang asas.

"Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka.

"Justeru, saya sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 berkata, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus, berbanding enam peratus.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST.

"Ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat 'black economy' kerana kita tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai," katanya.

Menurutnya, kenaikan cukai SST sebanyak dua peratus ini juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

"Malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.

"Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 1:36 PM