BANTUAN diesel disalurkan PASRelief kepada Hospital Europe, di Gaza bagi memastikan operasi hospital dapat diteruskan.
BANTUAN diesel disalurkan PASRelief kepada Hospital Europe, di Gaza bagi memastikan operasi hospital dapat diteruskan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tindakan rejim Zionis memotong bekalan air, bahan api dan elektrik ke Tebing Gaza sejak 24 hari lalu disifatkan tindakan amat zalim.

Sehingga kini, penduduk Palestin di Gaza masih terperangkap dalam keadaan memeritkan dan mengerikan. Mereka hanya menunggu masa menjadi mangsa bedilan bom tentera Israel tanpa henti.

Lebih menyedihkan apabila kekurangan bekalan bahan api ini mengakibatkan perkhidmatan hospital dan kemudahan awam di Gaza terjejas ketika ribuan mangsa serangan Israel memerlukan rawatan.

Jurucakap PASRelief berkata, menyedari kepentingan bahan api untuk meneruskan kehidupan, pihaknya tampil menyumbang bekalan diesel bagi memastikan generator dapat dihidupkan sekaligus membekalkan tenaga elektrik di Hospital Europe, Gaza.

Menurutnya, bekalan elektrik yang diputuskan sejak lebih 3 minggu lalu menjejaskan operasi di hospital-hospital dalam Gaza.

"Mereka terpaksa menggunakan genarator untuk bantuan bekalan elektrik. Bagaimanapun generator ini memerlukan kepada bahan bakar seperti diesel.

"Buat masa ini PASRelief berjaya menyalurkan bekalan diesel diperlukan ini terutama bagi menghidupkan bekalan elektrik

di Hospital Europe, Gaza City," katanya.

Menurutnya, ketika kerja penyaluran bantuan bekalan diesel dilaksanakan, pihaknya terdedah kepada sasaran bedilan rejim zionis kerana dianggap membekal bahan bakar kepada pejuang Hamas.

"Hakikatnya mereka sedang menyelamat ribuan nyawa yang kritikal untuk mendapatkan rawatan di hospital.

"Keadaan di sana ibarat antara hidup dan mati. Kehabisan bekalan elektrik di hospital boleh menyebabkan ancaman nyawa kepada pesakit yang kian meningkat termasuk bayi, kanak-kanak dan warga emas," katanya.

Menurutnya, serangan demi serangan dan sekatan terhadap rakyat Palestin tidak akan mematahkan usaha malah PASRelief yang terus giat membantu mereka.

"PASRelief mengajak dan menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk turut menyumbang buat mangsa perang di Palestin.

"Segala bentuk sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank, Tabung Kemanusiaan PASRelief : 5640 7061 4481 atau melalui : https://infaqpay.my/plus/tabung-bantuan-palestine-pasrelief Segala maklumat lanjut boleh hubungi hotline PASRelief di talian 017-500 1144," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 7:45 AM