Rakyat Palestin melihat kesan serangan tentera Israel di Kem Pelarian Jabalia. FOTO Reuters
Rakyat Palestin melihat kesan serangan tentera Israel di Kem Pelarian Jabalia. FOTO Reuters
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Angka korban rakyat Palestin di Semenanjung Gaza akibat serangan tentera Israel terus meningkat kepada 11,320 orang semalam.

Pejabat media kerajaan Hamas dalam kenyataannya memaklumkan, serangan memasuki hari ke 39 itu,

sudah meragut nyawa 4,650 kanak-kanak dan 3,145 wanita setakat ini.

Serangan tanpa henti siang dan malam itu turut mencederakan 29,200 penduduk Gaza selain menyebabkan 3,600 individu masih gagal dikesan termasuk 1,755 kanak-kanak.

Menurutnya, kenyataan itu, kebanyakan mangsa yang hilang dipercayai maut tertimbus atau terperangkap dalam runtuhan kediaman yang dibom tentera Israel.

"Tidak hanya menyasarkan orang awam, tentera Israel turut membunuh seramai 198 pegawai perubatan, 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan sejak serangan bermula.

Sementara itu Pengerusi Muslim Care Malaysia Cawangan Palestin Abu Ayesh Al Najjar memaklumkan tadi, tentera Israel mula menyerbu masuk ke hospital terbesar di Gaza, Hospital Al-Shifa selepas mengepung kawasan itu sejak beberapa hari lalu.

"Askar Israel menggunakan alasan kononnya hospital itu turut menjadi markas pejuang Al-Qassam dan tentera Hamas untuk melakukan serangan.

"Terdapat sekitar 600 pesakit dan 500 kakitangan perubatan masih terkepung di dalam Hospital Al-Shifa selain 1,500 pelarian dan penduduk Gaza yang mencari perlindungan di hospital sama," katanya.

Dia yang dihubungi melalui WhatsApp memaklumkan kumpulan doktor di hospital Al-Shifa tidak akan berganjak dan akan meneruskan tugas walaupun diancam dengan serangan tentera Zionis

Sebelum itu, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qidra memaklumkan stesen penyiaran Al Jazeera bahawa askar Rejim Zionis memberi amaran akan menyerbu masuk ke Hospital Al-Shifa dalam beberapa minit.

Sabtu lalu pihak Kementerian Kesihatan GAza mendedahkan 39 bayi meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Al-Shifa Gaza akibat kekurangan oksigen susulan sekatan bekalan bahan api dilakukan pihak Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 9:28 AM