HANTARAN di Instagram menunjukkan keadaan di Hospital Indonesia, Gaza, yang sudah kehabisan bekalan elektrik.
HANTARAN di Instagram menunjukkan keadaan di Hospital Indonesia, Gaza, yang sudah kehabisan bekalan elektrik.
Agensi

Gaza: Sebuah hospital yang didirikan hasil sumbangan dari Indonesia di Semenanjung Gaza kini termasuk dalam hospital yang semakin lumpuh akibat kehabisan kuasa elektrik.

Pekerja bantuan berebut-rebut untuk mendapatkan minyak untuk terus menyelamatkan nyawa di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza.

The Straits Times melaporkan Hospital Indonesia yang menggunakan generator di tengah-tengah sekatan Israel ke atas enklaf itu, terpaksa merawat mereka yang cedera dalam kegelapan dan menutup beberapa perkhidmatannya pada Isnin lalu.

Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia, sebuah kumpulan yang berada di lapangan di hospital itu pada Rabu berkata, bekalan elektrik semakin teruk.

"Kerosakan turut terjadi kepada peralatan elektrik disebabkan kekurangan bahan api bagi menjana kuasa. Bahan api sangat sukar diperoleh sekarang," kata kumpulan itu dalam hantaran di Instagram.

Hantaran itu mengandungi klip video yang kelihatan seperti keadaan hospital pada waktu malam, dengan kakitangan perubatan merawat orang yang cedera menggunakan lampu suluh.

Semenanjung Gaza sebahagian besarnya terputus bekalan bahan api, elektrik dan air bersih, selepas Israel mengisytiharkan pengepungan sepenuhnya di wilayah itu lebih dua minggu lalu.

Ramai dalam masyarakat antarabangsa menyuarakan kebimbangan dan amaran terhadap tindakan zionis itu.

Ini memandangkan tindakan sedemikian menjejaskan kehidupan orang awam yang terperangkap dalam konflik antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 12:14 PM