FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pas dijangka berpeluang untuk terus mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 2 Disember ini.

Walaupun Pas belum memutuskan calonnya tetapi nama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut tersenarai pendek sebagai calon, selain mengekalkan penyandang kerusi, Che Alias Che Alias Hamid.

Dengan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, sebagai calonnya tetapi Pas dilihat masih mempunyai kekuatan untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman.

Pas dijangka akan mengadakan mesyuarat khas pemilihan calon esok dan akan mengumumkan pada Khamis ini.

Difahamkan, setakat ini jawatankuasa tertinggi Pas pusat belum meminta senarai pendek calon untuk mewakili parti itu bertanding mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.

Jawatankuasa tertinggi parti itu dijangka akan meminta Pas negeri mengemukakan calon yang disenarai pendek di peringkat negeri hari ini atau pagi esok.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kemaman Hanafiah Mat ketika dihubungi mengesahkan setakat ini jawatankuasa tertinggi parti belum meminta nama calon yang disenarai pendek di peringkat negeri.

Menurutnya, jawatankuasa tertinggi Pas pusat mungkin sudah mempunyai senarai calon yang dipilih secara rambang.

"Tetapi kita yakin calon yang akan dipilih terdiri daripada pemimpin parti tempatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika mengulas mengenai calon BN Raja Mohamed Affandi, Hanafiah yang juga exco kerajaan negeri berkata, pengundi tidak mengenali Raja Mohamed Affandi, walaupun pernah belajar di Chukai serta mempunyai ahli keluarga yang ramai di Kampung Mak Chili, Kemaman.

Menurutnya, momentum kebangkitan gelombang hijau terutama kalangan pengundi muda masih kuat di Kemaman.

"Jika Pas mencalonkan Dr Ahmad Samsuri atau mengekalkan Che Alias, parti itu masih mempunyai kekuatan untuk mengekalkan kemenangan.

"Pelbagai isu yang gagal ditangani kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama kos sara hidup punca pengundi menolak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, momentum pengundi berubah dan mereka tidak memilih calon, sebaliknya memilih parti.

"Slogan lama iaitu BN meletakkan songkok sebagai calon pun boleh menang sudah berubah," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Negeri membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias pada PRU15 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 1:35 PM