GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Perselisihan faham berkaitan masalah kerja menjadi punca lelaki warga asing dibelasah di hadapan klinik swasta di Taman Samudera, Batu Caves, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan video berdurasi dua minit 10 saat memaparkan pergaduhan warga asing di lokasi terbabit yang tular di media sosial, semalam.

"Hasil siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berlaku jam 9.30 malam, Khamis lalu dengan pengadu iaitu seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun menyatakan dipukul seorang lelaki yang juga warga asing.

"Pengadu mendakwa dia dipukul menggunakan tangan di bahagian lengan kiri dan badan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Ariffin berkata, suspek adalah ejen pekerja kepada pengadu dan punca kejadian adalah kerana perselisihan faham berkaitan masalah pekerjaan.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohammad Shafiq Nordin di talian 010-3861622 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 1:52 PM