LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Penunggang basikal warga emas yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Ukay Perdana, di sini, semalam, tidak digilis kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, proses bedah siasat terhadap mayat mangsa berusia 62 tahun itu dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Ampang jam 10 pagi hari ini.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di kepala berikutan kemalangan berkenaan.

"Tiada kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa yang dapat membuktikan mangsa digilis kenderaan lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, jenazah mangsa sudah diserahkan kepada waris jam 2.30 petang selepas selesai proses bedah siasat dilakukan.

"Terdapat seorang saksi tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Ampang. Saksi itu memaklumkan hanya nampak mangsa duduk sebelum terbaring di atas jalan dan tidak sedarkan diri.

"Bagaimanapun, saksi terbabit tidak melihat kemalangan itu berlaku. Berdasarkan pemerhatian, keadaan jalan itu selamat untuk basikal.

"Namun, penunggang basikal harus berhati-hati, tidak melawan arus dan menunggang perlahan ketika menuruni bukit," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan penunggang basikal maut apabila hilang kawalan ketika menuruni bukit di Jalan Ukay Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 4:32 PM