KEADAAN basikal yang rosak selepas hilang kawalan ketika menuruni bukit menyebabkan seorang lelaki maut di Jalan Ukay Perdana, hari ini. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN basikal yang rosak selepas hilang kawalan ketika menuruni bukit menyebabkan seorang lelaki maut di Jalan Ukay Perdana, hari ini. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Penunggang basikal maut apabila hilang kawalan ketika menuruni bukit di Jalan Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa yang berusia 62 tahun dipercayai menunggang basikal bersendirian.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa seorang lelaki warga tempatan dalam perjalanan dari Ukay Perdana menuju ke arah Kampung Pasir hilang kawalan ketika menuruni jalan yang sedikit berbukit dan terjatuh dari basikal.

"Mangsa yang menunggang secara bersendirian mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi bebas yang menyaksikan kejadian diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 11:50 PM