Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Penunggang maut dipercayai digilis sebuah lori selepas terjatuh selepas bergesel dengan kenderaan itu di Kilometer 18.3 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dekat sini, hari ini.

Mangsa dikenali Ahmad Sofwatullah, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, polis menerima laporan kejadian pada 1.15 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang bergesel dengan sebuah lori menyebabkan terjatuh lalu digilis kenderaan itu.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, setakat ini polis masih mengesan waris mangsa dan pemandu lori juga belum membuat laporan polis.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 11:39 PM