PENUNGGANG basikal yang dalam perjalanan pulang selepas beriadah maut digilis lori dalam kejadian di Batu 10, Jalan Gombak Lama, Gombak, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
PENUNGGANG basikal yang dalam perjalanan pulang selepas beriadah maut digilis lori dalam kejadian di Batu 10, Jalan Gombak Lama, Gombak, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Mohd Azam Shah Yaacob


PENUNGGANG basikal dalam perjalanan pulang selepas beriadah maut digilis lori dalam kejadian di Batu 10 Jalan Gombak Lama, Gombak, 11.50 pagi hari ini.

Mangsa, Wan Mohd Nur Muzaaliff Wan Musa, 44, disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Bentong, Pahang ke rumahnya di Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur selepas berbasikal secara berkumpulan bersama tiga rakannya.

Beliau berkata, mangsa terjatuh sebaik lori dipandu lelaki berusia 48 tahun bergerak di sebelah kanannya bagi tujuan memotong.

“Ketika lori berkenaan berada di bahagian kanan untuk memotong, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh bersama basikalnya.

“Susulan itu, mangsa digilis tayar belakang kiri lori berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian dan pemandu lori terbabit berhenti sebaik menyedari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, tiga lagi rakan mangsa sedang berkayuh dalam jarak 200 meter di belakangnya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang (HS) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagaimanapun, polis meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 03-61262222 atau 013-7557556,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 4:16 PM