GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 4,509 individu termasuk pelajar sekolah ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) selain merampas dadah serta menyita aset keseluruhan bernilai RM2.81 juta menerusi Op Tapis Khas seluruh negara.

Operasi yang dijalankan sejak Selasa sehingga kelmarin itu menggempur kawasan Felda, Felcra, projek perumahan rakyat (PPR) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), perkampungan nelayan serta sekatan jalan raya.

Pengarah JSJN Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, seramai 5,014 individu diperiksa dan hasilnya 4,509 individu berusia 14 hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

Beliau berkata, daripada mereka yang ditahan itu, 482 individu termasuk penjawat awam dan pelajar disyaki tokan manakala 2,232 penagih, 195 dikehendaki serta 1,600 terbabit kesalahan lain.

"JSJN turut merampas 129.83 kilogram dadah dan 492.26 liter cecair disyaki dadah bernilai RM1.70 juta. Antaranya heroin, syabu, ganja, ketamin, erimin 5, pil yaba, ekstasi, pil psikotropik, daun ketum, air ketum serta kodein.

"Kesemua rampasan itu dianggarkan boleh digunakan oleh 264,240 orang penagih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JSJN turut menyita pelbagai aset termasuk wang tunai, kenderaan, barang kemas dan jam tangan keseluruhan bernilai RM1.10 juta.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Menurut Mohd Kamarudin, operasi membabitkan kekuatan 2,528 pegawai dan anggota itu dijalankan bagi mengesan sindiket pengedaran dadah serta individu yang dikehendaki polis selain memusnahkan lokasi penagihan dadah.

Untuk rekod, Op Tapis Khas yang dijalankan sejak Januari hingga kelmarin sudah menahan 17,147 individu dan merampas 2,434.27 kilogram serta 4,460.14 liter dadah bernilai RM23.91 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 1:26 PM