ANTARA dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas di Johor, Januari lalu. FOTO arkib NSTP
ANTARA dadah dan peralatan memproses dadah yang dirampas di Johor, Januari lalu. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melakar kejayaan apabila menahan 9,323 individu termasuk 28 penjawat awam atas pelbagai kesalahan dadah selain merampas dadah bernilai RM168.26 juta, Januari lalu.

Pengarah JSJN Datuk Razarudin Husain berkata, 22 sindiket dadah di seluruh negara turut ditumpaskan.

Menurutnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, yang mana JSJN menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM26.10 juta.

Katanya, antara kejayaan terbesar ialah penahanan tiga lelaki di Kepong dan Seri Kembangan serta merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM4.3 juta pada 9 Januari.

"Keesokannya, JSJN Johor berjaya membongkar stor penyimpanan dadah dan menahan enam lelaki serta enam wanita di sekitar Johor Bahru. Pelbagai dadah dirampas iaitu pil erimin 5, syabu ekstasi dan ganja membabitkan nilai sitaan RM4.1 juta.

"Pada 11 Januari, JSJN Johor sekali melakukan serbuan di dua lokasi di Johor Bahru dan merampas dadah keseluruhan bernilai lebih RM85 juta.

"Pada 15 Januari, JSJN Bukit Aman menahan seorang lelaki dan merampas ketamin serta heroin bernilai RM11 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, terbaharu pada 1 Februari lalu, JSJN melancarkan operasi khas ke atas sindiket pengedaran dadah membabitkan tujuh serbuan di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perlis.

Katanya, dalam operasi itu sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki warga Kemboja, dua wanita dan seorang kanak-kanak ditahan susulan penemuan 399.48 kilogram ganja serta 770 kilogram ketum bernilai RM1,006,400.

Beliau berkata, JSJN akan sentiasa proaktif dalam menjalankan pemantauan sindiket pengedaran dadah agar tindakan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Selain itu, tambah beliau, JSJN akan menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah dapat dibanteras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 10:44 AM