GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan 4,718 individu membabitkan tokan, penagih dan orang dikehendaki serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM553,927 dalam Op Tapis Khas di seluruh negara pada 10 Julai hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, menerusi operasi itu pihaknya merampas 202.57 kilogram (kg dan 2,789.96 liter pelbagai jenis dadah.

"Antara dadah yang dirampas ialah heroin, syabu, ketamin, ganja, pil eramin 5, pil Yaba (pil kuda), ekstasi, daun ketum, pil psikotropik, air ketum, kodein dan candu.

"Dalam operasi ini, sejumlah 1,258 pemeriksaan dilakukan di kawasan Felda/Felcra; Projek Perumahan Rakyat (PPR); mobile pot; jeti; ladang swasta dan pangkalan haram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, daripada 4,718 individu yang ditahan 655 adalah tokan dadah: penagih (2,272); orang dikehendaki (249) dan kesalahan lain (1,542).

"Operasi khas ini bertujuan mengesan dan menangkap tokan dadah di sekatan jalan raya, memusnahkan sarang penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih tegar, mengesan dan menangkap orang yang dikehendaki dan mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang dikenal pasti.

"Semua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 30(3) Akta Racun 1953; Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985; dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, JSJN turut menyita pelbagai aset seperti wang tunai dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM418,160.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata, sepanjang Op Tapis Khas 1 sehingga Op Tapis Khas 3 yang dijalankan sejak Januari lalu, pihaknya merampas dadah berjumlah RM22.1 juta.

"Menerusi operasi yang dijalankan seramai 12,639 individu sudah ditahan membabitkan pelbagai kesalahan dadah dengan jumlah rampasan sebanyak 2,304 kg dan 3,967 liter dadah.

"Polis khususnya JSJN terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 7:11 PM