ANWAR membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PMO
ANWAR membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PMO
Essa Abu Yamin

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan lapan perkataan bahasa Melayu yang jarang didengar dan digunakan orang ramai ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen hari ini.

Marcapada dan arakian antara perkataan sastera yang disebut Perdana Menteri sekali gus menarik perhatian sidang dewan ketika membentangkan belanjawan berkenaan.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), marcapada bermaksud dunia masa kini, manakala arakian bermaksud maka atau sesudah itu.

Selain itu, beliau turut menggunakan perkataan taakul yang bermaksud membuat pertimbangan atau penilaian, manakala perkataan intiha antara perkataan menarik yang disebut oleh Anwar yang membawa maksud penutup atau penghabisan.

Mahsul, kesenjangan, sementelahan dan walhasil juga menjadi perkataan menarik yang jarang digunakan secara formal, namun disebut oleh Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Berdasarkan rujukan menerusi DPB, mahsul membawa maksud hasil atau pendapatan, kesenjangan pula bermaksud ketidakseimbangan, manakala sementelahan bermaksud tambahan pula dan walhasil bermaksud kesimpulannya.

Anwar turut meneruskan tiga lagi penggunaan istilah bahasa Melayu yang pernah digunakan pada belanjawan sebelum ini seperti ketimbang, maha kaya dan kendatipun.

Ketimbang memberi maksud berbanding, manakala mahakaya bermaksud maha kuasa dan kendatipun pula bermaksud meskipun menjadi salah satu perkataan unik yang disebut Anwar dalam pembentangan belanjawan berkenaan.

Penggunaan perkataan luar kebiasaan itu sejak sekian lama menjadi identiti Anwar yang juga berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Melayu pengkhususan Sastera di Universiti Malaya (UM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 7:17 PM