GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Biarpun tidak secara jelas menyebut cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikenakan namun kandungan Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, bagi topik percukaian sudah pun mempunyai sedikit ciri yang ada dalam GST.

Memperincikannya, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia Datuk Abd Aziz Abu Bakar berkata, ciri-ciri GST antaranya terkandung dalam perenggan 28 teks belanjawan iaitu 'kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar 5 hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan' yang diikuti ucapan secara verbal tidak ditulis dalam teks itu.

Beliau berkata, secara verbal yang disebut Anwar ialah 'tapi untuk maksud menggalakkan pelancongan ia tidak dikenakan kepada pelancong dan beberapa peraturan diperkenalkan supaya pelancong boleh mengutip pulangan cukai itu sebelum berlepas ke luar negara.'

"Tak dinyatakan secara bertulis dalam ucapan tetapi disebutkan secara verbal dalam ucapan beliau (Perdana Menteri) di Parlimen. Ini lebih kurang sama skim 'refund' dalam GST.

"Jadi saya tengok dari segi ciri-ciri GST dah ada dalam cukai barangan dan perkhidmatan, dimasukkan dalam SST khusus dalam ucapan verbal perenggan 28.

"Tourist refund scheme (skim bayaran balik pelancong atau TRS) ini apabila pelancong datang ke Malaysia beli barang berkenaan dia boleh buat tuntutan semula di lapangan terbang sebelum dia balik, ciri ini memang ada dalam GST.

"Saya tak tahu sama ada secara perundangan atau secara Rang Undang-Undang Perbekalan atau pun Akta Kewangan ini akan dimasukkan kenyataan verbal dia cakap di Parlimen, atau pun ia bergantung kepada ucapan yang bertulis di dalam ucapan belanjawan itu, saya tidak pasti," katanya.

Abd Aziz berpandangan kerajaan akan memperkenalkan semula GST untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai.

"Saya rasa kerajaan memang akan perkenalkan semula GST dengan perkembangan pentadbiran cukai dari segi e-invoicing, di peringkat lembaga hasil, dan dari segi cukai barang bernilai tinggi yang boleh dapat balik refund... ini memang ke arah memperkenalkan GST, pada pendapat saya.

"Satu daripada matlamat belanjawan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai. GST adalah alat instrumen ekonomi membantu kesan grey economy atau shadow economy (aktiviti ekonomi bayangan untuk memastikan pelakunya tidak dapat dikesan agensi penguatkuasa khususnya cukai).

"Tetapi cuma dari segi politiklah saya rasa lebih (dipertimbangkan), bukan ekonomi iaitu bukan dari segi asas ekonomi tetapi lebih kepada asas atau pun kebimbangan dari segi kehendak politik," katanya.

Beliau juga berpandangan buat masa ini kerajaan masih belum boleh memperkenalkan semula GST mengambil kira pendapatan per kapita atau pendapatan rakyat.

"Saya rasa mungkin GST dilaksanakan semula pada 2025 atau 2026, mungkin selepas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Mudah-mudahan apabila pendapatan rakyat dah lebih bagus, pendapatan per kapita atau pendapatan rakyat dah lebih stabil dan negara pun mampu untuk memperkenalkan GST ini balik," katanya.

"Saya rasa itu saya punya jawapan kenapa kerajaan tidak memperkenalkan GST semula tetapi mengambil tindakan untuk menaikkan cukai perkhidmatan dulu daripada enam peratus kepada lapan peratus, sekurang-kurangnya sedikit sebanyak meningkatkan hasil Kerajaan Persekutuan," katanya.

Untuk rekod GST diperkenalkan pada 2015 dan dihapuskan pada 2018. GST diperkenalkan untuk menggantikan SST yang dikatakan sistem percukaian lapuk, tidak cekap dan tidak telus.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan cukai perkhidmatan menunjukkan usaha kerajaan untuk menaikkan hasil.

"Namun pada masa yang sama jugakerajaan perlu menitikberatkan kesan kenaikan kos sara hidup kepada rakyat yang mana perlaksanaan GST kebiasaanya akan mengakibatkan kesan inflasi pada peringkat permulaan.

"Meskipun demikian, usaha utk melaksanakan GST semula adalah sesuatu keperluan memandangkan cukai ini adalah cekap, menaikkan hasil serta dapat membantu membasmi ekonomi bayangan.

"Oleh itu, usaha untuk menerangkan kepada rakyat dan ahli perniagaan perlu dibuat bagi memberi penerangan yang jelas supaya tidak timbul kekeliruan dan keresahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 11:00 AM