AHMAD Maslan (tengah) menyertai Larian Kewangan 2023 Sempena Hari Sukan Negara 2023. FOTO Eizairi Shamsudin
AHMAD Maslan (tengah) menyertai Larian Kewangan 2023 Sempena Hari Sukan Negara 2023. FOTO Eizairi Shamsudin
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Kewangan (MOF) akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2024 bertujuan menyemak dan mendapatkan maklumbalas bagi memastikan pelaksanaannya dapat diadakan dalam tempoh ditetapkan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jawatankuasa ini juga akan memantau belanjawan yang disalurkan itu dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Katanya, pada Rabu lalu Dewan Rakyat juga telah meluluskan belanjawan yang dipanggil Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024.

"Penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2024 ini seiring dengan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang diluluskan di Dewan Rakyat bagi melaporkan pencapaian bajet dalam masa setengah tahun (Januari hingga Jun) yang akan dilaporkan di Dewan Rakyat pada awal September 2024," katanya pada Majlis Larian Kewangan 2023 di perkarangan MOF sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di sini, hari ini.

Seramai 3,200 peserta menyertai larian ini membabitkan agensi di bawah MOF iaitu penyertaan terbanyak setakat ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat dengan peruntukan tertinggi berjumlah RM393.8 bilion.

Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2024 akan diketuai Menteri Kewangan,Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Ahmad berkata, MOF sedia mempertimbang sekiranya terdapat perkara tertentu untuk dipercepatkan kelulusannya supaya dapat dilaksanakan dengan pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 11:51 AM