GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, RM930 juta bagi menaik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

"Sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah membabitkan sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah tamil dan cina termasuk sekolah pendidikan khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autism," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, menerusi peruntukan kepada Kementerian Pendidikan, sebanyak 26 sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek RM2.5 bilion.

Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak; dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) sebanyak RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

"Peluasan syarat ini akan memberi peluang kepada tambahan 35,000 lagi anak bangsa daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat BKP.

"Bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan tiga berbanding sehingga tingkatan satu sebelum ini.

"Keseluruhannya, satu juta murid akan menerima manfaat dengan peruntukan RM150 juta," katanya.

Pada pembentangan itu, pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion ringgit tahun 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:28 PM