FADHLINA Sidek. FOTO Arkib NSTP.
FADHLINA Sidek. FOTO Arkib NSTP.
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Pembentangan Belanjawan 2023 menggariskan antara fokus utama untuk Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan guru serta murid-murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bagi merealisasikan matlamat itu, pihaknya menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Justeru, katanya beberapa intipati digariskan dalam belanjawan kali ini bagi merealisasikan objektif seperti dihasratkan.

"Pertama, peruntukan RM2.3 bilion untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik, termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas selaras teras keenam KPM.

"Peruntukan RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).

"Membina tujuh sekolah baharu dengan kos RM560 juta (SK Paya Dusun, Terengganu; SMK Denai Alam, Selangor; SMK Nabalu, Sabah dan SMK Dudong, Sarawak," katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas usaha yang akan dilakukan untuk meningkatkan taraf sekolah, Fadhlina berkata antaranya melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagi anak yang masih tercicir dalam pembelajaran, katanya mereka juga akan dibantu dengan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan kelas pemulihan untuk golongan itu.

Tambahnya, penyediaan makanan berkhasiat turut dititikberatkan kali ini apabila peruntukan ditambah daripada RM625 juta kepada RM777 juta pada bajet tahun ini.

Jelasnya, program itu dibawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang bakal memanfaatkan seramai 700,000 murid.

"Selain itu, RM108 juta Program Makanan Prasekolah KPM yang kana memanfaatkan lebih 240,000 murid prasekolah KPM. Ia termasuk pemantauan ke atas penyedia makanan bagi memastikan makanan disediakan berkualiti dan berkhasiat," katanya.

Dalam usaha meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah, Fadhlina berkata kerajaan juga akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM dengan sebanyak 50,000 komputer riba selaras teras ketujuh kementerian.

Dalam masa sama, katanya kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menjalankan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 7:35 PM