Idris Musa


KEMENTERIAN Pendidikan menerima peruntukan terbesar RM64.1 bilion pada tahun depan sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pendidikan negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah bertambah daripada RM652 juta pada 2019 kepada RM735 juta pada 2020.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan RM783 juta, terutama di Sabah dan Sarawak.

“Tahun hadapan, kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang,

Tumpat, Marang dan Johor Bahru.

“Bagi sekolah kebangsaan, peruntukan RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra orang kelainan upaya (OKU).

“Ini selari dengan dasar penolakan sifar yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan yang mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan daripada RM5.7 bilion pada 2019 kepada RM5.9 bilion pada 2020 bagi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, sebagai usaha menggalakkan pembelajaran dewasa pula, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperluaskan skop pengeluaran bagi membiayai pendidikan peringkat sijil.

Katanya, kerajaan juga akan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan RM2 bilion bagi membiayai pinjaman untuk 50 ribu pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 7:00 PM