Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pemimpin politik kerajaan dan pembangkang duduk sepentas bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Himpunan bermula pada jam 2 petang itu dihadiri lebih 5,000 individu termasuk Ahli Parlimen dari kerajaan, pembangkang, pemimpin politik pelbagai parti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan.

Antara yang hadir dan memberi ucapan ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu: Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Dalam ucapan ketika perhimpunan terbabit semua mereka mendesak negara yang bersekongkol dengan rejim Israel supaya membebaskan Palestin.

Sementara itu, Ahmad Fadhli selaku penganjur himpunan berkata, beliau berharap mesej yang disampaikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan parti sampai ke pihak terbabit.

"Kita harap ia sampai ke Israel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan ia tidak akan berhenti di sini.

"Kempen ini akan bergerak ke semua masyarakat di Malaysia. Sumbangan juga dilakukan untuk dihantar kepada sukarelawan yang terbabit," katanya.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, himpunan ini menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat serta menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan ini

"Kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas Palestin wajar dibela dan diberikan sokongan tanpa berbelah bahagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 4:11 PM
SEBAHAGIAN Ahli Parlimen dari kerajaan, pembangkang, pemimpin politik pelbagai parti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang hadir sebagai tanda sokongan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di perkarangan Masjid Negara. FOTO Eizairi Shamsudin
SEBAHAGIAN Ahli Parlimen dari kerajaan, pembangkang, pemimpin politik pelbagai parti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang hadir sebagai tanda sokongan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di perkarangan Masjid Negara. FOTO Eizairi Shamsudin