Muhamad Lokman Khairi


Seri Iskandar: Kira-kira 500 mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) menyertai Himpunan Solidariti Palestin selepas selesai solat Jumaat di pekarangan Masjid An-Nur UTP, di sini, hari ini.

Himpunan secara aman anjuran Kelab Rakan Masjid turut disertai penuntut antarabangsa seperti Indonesia, Pakistan, Yaman, Nigeria termasuk Palestin.

Mereka membawa Jalur Gemilang dan bendera Palestin, memakai mafela bermotif Palestin, plakad serta melaungkan 'Palestin' dan 'Shame on you Israel' bagi mengecam tindakan kejam tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTP, Silvestre Ronaldo Jr Sunny, 20, berkata isu yang membelenggu negara Asia Barat itu seharusnya difahami oleh generasi muda.

Menurutnya, semua pihak tanpa mengira agama mesti menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka serta mengutuk sikap tidak berperikemanusiaan rejim Zionis.

"Saya bukan Muslim, saya beragama Kristian, tapi tak bermakna saya tak boleh sertai himpunan ini kerana apa yang berlaku di Palestin ketika ini adalah isu kemanusiaan dan melangkaui kepentingan agama.

"Keamanan adalah hak semua insan kerana semua agama menganjurkan keamanan. Jadi tidak wajar hak rakyat Palestin dirampas mana-mana pihak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Himpunan Solidariti Palestin, Ammar Azman, 20, berkata himpunan berkenaan bertujuan menunjukkan kebersamaan rakyat Malaysia khususnya mahasiswa UTP bagi menyokong pembebasan negara Palestin.

"Kami membantah sekeras-kerasnya segala serangan dilakukan tentera Zionis yang membunuh dan menghancurkan infrastruktur di Palestin tanpa rasa bersalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 5:06 PM
Seramai 500 mahasiswa UTP tanpa mengenal bangsa dan agama turun menyertai Himpunan Solidariti Palestin di Perkarangan Masjid An-Nur UTP. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Seramai 500 mahasiswa UTP tanpa mengenal bangsa dan agama turun menyertai Himpunan Solidariti Palestin di Perkarangan Masjid An-Nur UTP. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI