ORANG ramai yang menyertai Himpunan 10K Solidariti Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat hari ini. FOTO Bernama
ORANG ramai yang menyertai Himpunan 10K Solidariti Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat hari ini. FOTO Bernama
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa supaya tidak pernah gentar atau tunduk dengan desakan mana-mana pihak dalam memperjuangkan isu Palestin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau percaya majoriti rakyat sebulat suara menyokong perjuangan penduduk Palestin menentang kezaliman rejim Zionis.

"Saya minta kerajaan jangan sesekali takut dengan mana-mana ugutan berkaitan isu Palestin ini.

"Rakyat selari dan sentiasa bersama dalam perjuangan Palestin, kita bersama menentang sebarang kezaliman yang berlaku," katanya ketika Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Jalan Tun Razak berdekatan kedutaan Amerika Syarikat di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya bersekongkol dengan negara barat yang terkenal dengan sifat hipokrit terutama berhubung isu Palestin-Israel.

"Amerika Syarikat memperlihatkan kepada kita wajah sebenar mereka yang bersifat hipokrit, selain tidak adil bila mana membabitkan Palestin yang dirobek setiap hari.

"Ketidakadilan dan kezaliman ini yang kita tentang sehabis-habisnya dan kita tidak akan gentar sama sekali terhadap sebarang provokasi berkaitan isu Palestin ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib berkata, pihaknya menyokong desakan Hamzah untuk membahas isu Palestin di Dewan Rakyat.

"Kita akan usulkan bagi membahas isu ini diterima di Dewan Rakyat sebagai pandangan sebulat suara untuk tidak menyokong tindakan Israel.

"Kita akan usulkan secepat mungkin, Isnin ini, kerajaan perlu tegas menyatakan pendirian mahu Israel keluar dari Palestin," katanya.

Afnan berkata, pihak pembangkang akan turut menyerahkan satu memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat sebagai tanda sokongan Pakatan Nasional (PN) pada perjuangan rakyat Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 5:56 PM