Walid Abu Ali.
Walid Abu Ali.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membela perjuangan serta nasib Palestin dan rakyatnya yang berjuang menentang kekejaman Israel.

Dunia telah menutup mata terhadap penderitaan Palestin selama beberapa dekad, Malaysia sebaliknya, sentiasa konsisten dengan pendiriannya dalam konflik Israel-Palestin.

"Kami rakyat Palestin menghargai dan mengagumi sokongan diberikan Malaysia dan Perdana Menteri, ketika pertemuan dengan (Presiden AS) Presiden Joe Biden, mengukuhkan lagi kedudukan dan pendirian Malaysia terhadap perjuangan Palestin," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berharap Malaysia akan mempengaruhi negara Asia lain ke arah menyokong perjuangan Palestin.

"Isu Palestin sentiasa menyatukan jiwa dan menyentuh hati semua rakyat Malaysia," tambahnya.

Malaysia konsisten dengan pendiriannya serta lantang menyuarakan solidariti dan sokongan terhadap isu Palestin.

Semasa mesyuarat pemimpin ASEAN dengan Presiden Joe Biden pada sidang kemuncak khas di Washington D.C. pada 13 Mei, Ismail Sabri telah meminta AS bersikap jujur menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

"Kekejaman Israel perlu dihentikan. Malaysia menekankan Amerika Syarikat perlu jujur selesai isu itu. Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita nak Amerika Syarikat mengambil tindakan cepat bagi isu Palestin," kata Perdana Menteri.

Duta itu juga menghargai pendirian Malaysia untuk tidak menormalkan hubungan dengan Israel serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin mencapai kebebasan daripada penjajahan haram Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia Dr Sharif Amin Abu Shammalah berkata seruan Ismail Sabri pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS telah mendedahkan sikap hipokrit dan pilih kasih atau dwistandard Barat dalam menangani isu Palestin.

Beliau berkata ia amat ketara apabila Barat dengan pantas mengecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tetapi membisu mengenai kekejaman Israel di bumi Palestin dan rakyatnya sejak tujuh dekad lalu.

Beliau berkata Israel tidak boleh melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa dan perlu bertanggungjawab atas jenayahnya.

"Rakyat Palestin amat menghargai pendirian rakyat dan kerajaan Malaysia berhubung isu Palestin.

"Kami sentiasa melihat bagaimana Malaysia adalah antara negara paling lantang menyokong isu Palestin.

"Saya percaya berdasarkan kedudukan Malaysia di wilayah serantau, ia mampu menyumbang kepada mengheret Israel ke muka pengadilan," katanya kepada Bernama.

Saifuddin.
Saifuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengulangi gesaan Malaysia supaya penamatan segera terhadap pemindahan paksa rakyat Palestin yang berlarutan oleh rejim tentera Israel.

Beliau berkata Malaysia tidak akan menjalinkan hubungan dengan Israel.

"Malaysia akan terus menzahirkan sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada saudara-saudara kita di Palestin; dan tidak akan menjalinkan hubungan dengan Israel.

"Komuniti antarabangsa harus bersatu untuk menamatkan rejim apartheid Israel," katanya dalam laman sosial Facebook sempena memperingati ulang tahun ke-74 Al-Nakba pada Ahad.

Sementara itu, Abu Ali turut menggesa masyarakat antarabangsa berlaku adil terhadap rakyat Palestin, yang telah menjadi mangsa pilih kasih selama lebih tujuh dekad.

"Apa yang berlaku antara Rusia dan Ukraine, dunia Barat boleh bertindak mengenakan sekatan terhadap Rusia hanya dalam beberapa minggu.

"Sedangkan nasib kami (rakyat Palestin) yang telah menderita selama lebih tujuh dekad terus dipinggirkan masyarakat antarabangsa dan boleh dikatakan tiada apa yang telah mereka lakukan. Jelas kami dapati kami menjadi mangsa pilih kasih," katanya.

Hari Nakba disambut pada 15 Mei setiap tahun, sebagai mengenang peristiwa pengusiran paksa hampir 800,000 rakyat Palestin pada 1948 dari kediaman mereka di Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 5:42 PM