Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Beberapa individu termasuk penganjur Himpunan Solidariti Bersama Palestin akan dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan perhimpunan di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dianggarkan seramai 40 individu berhimpun di hadapan masjid terbabit selepas solat Jumaat.

"Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ditempatkan di sekitar pekarangan masjid berkenaan untuk melakukan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman mengenai penganjuran himpunan terbabit daripada penganjur," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Noor Dellhan berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam himpunan terbabit, sekumpulan Pemuda Umno dan orang ramai bertindak membakar bendera Israel sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang ditekan oleh regim Zionis Israel.

Pembakaran bendera Israel itu diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh ketika Himpunan Solidariti Bersama Palestin di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.

Dr Muhamad Akmal juga memaklumkan himpunan itu bertujuan untuk menghantar mesej kepada rejim Zionis serta surat bantahan secara rasmi kepada Kementerian Luar agar dibawa ke peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 1:00 PM