Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Ahmad Hasbi


Seremban: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan mengeluarkan 59 saman terhadap warga asing yang dikesan memandu dan menunggang tanpa lesen memandu dalam operasi bermula 3 Oktober lalu.

Dalam Op Saman Warga Asing dijalankan di semua daerah, pihak JSPT turut mengesan terdapat segelintir pemilik kenderaan warga tempatan membenarkan kenderaan mereka digunakan warga asing untuk tujuan perniagaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, secara keseluruhan sehingga 11 Oktober lalu, pihaknya mengeluarkan 278 saman atas pelbagai kesalahan terhadap warga asing.

"Susulan aduan orang ramai, JSPT melaksanakan operasi berkenaan dengan memberi fokus terhadap pengguna jalan raya membabitkan warga asing yang melakukan kesalahan lalu lintas.

"Bermula 3 Oktober sehingga semalam, JSPT Negeri Sembilan mengeluarkan 278 saman dengan jumlah kesalahan paling tinggi tiada lesen memandu (59) diikuti tidak memakai tali pinggang keledar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesalahan lain yang dikesan adalah cukai jalan tamat tempoh (47 saman), tiada perlindungan insurans (25), tiada nombor pendaftaran (15), tidak memakai topi keledar (15) dan 51 saman atas lain-lain kesalahan.

"Kami turut membuat tiga tangkapan bagi kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dalam operasi khas ini juga, sebanyak 35 kenderaan disita yang digunakan warga asing atas pelbagai kesalahan membabitkan tujuh kereta, satu lori dan 27 motosikal," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 23 lokasi tumpuan operasi ini antaranya Jalan Rasah dan Jalan Kayu Ara- Sendayan di Seremban manakala di Port Dickson membabitkan Jalan Lukut- Sepang dan Jalan Kampung Jimah.

"Di Nilai membabitkan Jalan Mutiara, Jalan Permata Nilai, Nilai 3, Kampung Jijan dan Jalan BBN. Daerah lain turut diberi tumpuan yang mana lokasi yang dikesan kerap dilalui warga asing," katanya.

Ahmad Dzaffir menegaskan, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana individu yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen dan menyalahgunakan lesen kenderaan motor (LKM) bagi tujuan perniagaan.

"Pemilik kenderaan akan berhadapan dengan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang lalu lintas dan kenderaan akan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ia akan dibawa ke balai polis untuk proses memanggil pemilik yang sah untuk tindakan selanjutnya.

"Tindakan warga asing memandu tanpa lesen sah boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 2:32 PM