Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memeriksa penunggang motosikal dalam Ops Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) di Stesen Penguatkuasa JPJ Valdor. FOTO DANIAL SAAD
Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memeriksa penunggang motosikal dalam Ops Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) di Stesen Penguatkuasa JPJ Valdor. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memberi amaran kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak membiarkan kenderaan mereka dipandu individu tidak mempunyai lesen terutamanya warga asing.

Ini kerana mereka juga bakal berdepan dengan tindakan dibawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya kenderaan mereka dikesan dipandu individu yang tidak memiliki dokumen memandu yang sah.

Pengarah JPJ negeri , Zulkifly Ismail, berkata pihaknya mendapati trend semasa membabitkan kesalahan jalan raya yang dilakukan individu khususnya warga asing semakin serius.

"Untuk rekod tahun 2023, sebanyak 534 notis saman dikeluarkan kepada pemandu warga asing yang mana 416 kenderaan telah disita.

"Manakala bagi tahun 2024 daripada Januari hingga hari ini sebanyak 267 notis saman dikeluarkan dan 124 kenderaan disita yang semuanya adalah disebabkan tiada lesen memandu.

"Kita dapati trend sejak kebelakangan ini kesalahan dilakukan warga asing serius dan bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Stesen Penguatkuasa JPJ di Valdor, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, sebanyak 670 kenderaan diperiksa yang daripada jumlah itu 181 kenderaan diambil tindakan, manakala 213 notis saman dikeluarkan dan enam kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, polis turut mengeluarkan 30 notis saman, Jabatan Imigresen membuat lapan tangkapan warga asing, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masihg mengeluarkan dua ke enam kompaun, manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan pemeriksaan air kencing terhadap 15 pemandu yang enam daripadanya didapati positif dadah.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, mana-mana warga asing yang datang ke Malaysia boleh memandu sekiranya mereka mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh negara masing-masing.

"Setiap negara mempunyai peraturan yang sesiapa sahaja hendak memandu perlu memiliki lesen.

"Sesiapa yang tidak mempunyai lesen termasuk rakyat negara ini sendiri tidak layak berada atas jalan raya yang keberadaan mereka hanya akan menyebabkan keselamatan pengguna jalan raya lain terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 10:06 PM