AHMAD Zahid berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Literasi Kewangan Belia Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian UiTM Kampus Puncak Alam hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Zahid berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Literasi Kewangan Belia Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian UiTM Kampus Puncak Alam hari ini. FOTO Bernama
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar modul khas literasi kewangan dimasukkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal diperkenalkan semula.

Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan membendung generasi baharu terutamanya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terjebak dalam masalah muflis sebelum menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.

"Beberapa pendekatan mesti dilakukan agar kadar kebangkrapan dan insolvensi dapat ditangani di peringkat awal.

"Saya ingin menyarankan agar kursus atau modul khas Literasi Kewangan ini dimasukkan di dalam PLKN 3.0 bagi menghadapi cabaran yang mendatang.

"Golongan ini di Malaysia dan seluruh dunia terkekang dengan masalah pembelian atas talian, penawaran kad kredit dan pembelian tanpa menggunakan kewangan secara 'hard cash'.

"Jika ini (modul) tidak dibuat, maka dikhuatiri (golongan baharu) sebelum melangkah ke alam pekerjaan, mereka terlebih dulu mempunyai daya keberhutangan yang tinggi dan ini tidak sihat," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian penutup Konvensyen Literasi Kewangan Belia Kebangsaan di Dewan Berlian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.

Ahmad Zahid menegaskan modul Literasi Kewangan bukan saja diperkenalkan kepada peserta PLKN, malah pelajar IPT, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Terdapat 1,334 institusi TVET di seluruh negara. Saya akan turut menekankan soal itu agar dimasukkan sebagai salah sebuah modul yang penting," katanya.

Menurutnya, bagi tujuan itu juga, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pertahanan perlu mempersiapkan modul itu kepada golongan berkenaan sebelum menamatkan kursus dan pengajian masing-masing.

"Kementerian harus mempunyai kesediaan kursus-kursus ini agar melakukan mitigasi supaya lepasan daripada institut TVET, kepimpinan, institut pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan kolej lain mempunyai daya tahan terhadap masalah kewangan.

"Sistem penawaran kewangan yang baru agar mitigasi ini dapat dilakukan dengan kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 5:42 PM