AHMAD Faizal (dua, kanan) menyampaikan Sijil Anugerah Ikon TVET Terbaik kepada Safaruddin Redzuan (dua, kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Career Fest ILKBS Zon Tengah dan Majlis Anugerah IDEA 22 di Nilai, hari ini. FOTO Bernama.
AHMAD Faizal (dua, kanan) menyampaikan Sijil Anugerah Ikon TVET Terbaik kepada Safaruddin Redzuan (dua, kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Career Fest ILKBS Zon Tengah dan Majlis Anugerah IDEA 22 di Nilai, hari ini. FOTO Bernama.
Ahmad Hasbi


Nilai: Modul kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ditawarkan serta merta di 22 Institusi Latihan dan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kementerian melakar sejarah dalam tawaran kursus itu dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"KBS sentiasa komited dalam usaha memerangi rasuah dan ini termasuk menanamkan semangat antirasuah serta memupuk prinsip tidak bertoleransi terhadap perlakuan rasuah di segenap peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Festival Kerjaya ILKBS Zon Tengah di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, KBS bukan hanya mahu melahirkan belia yang berkemahiran untuk memenuhi pasaran pekerjaan, tetapi turut membina insan.

Sebelum ini, modul KIAR ditawar sebagai subjek elektif peringkat sijil, diploma dan sarjana muda di institusi pengajian tinggi (IPT) mulai 2022, sebelum diperkasa sebagai salah satu mata pelajaran Pengajian Umum (MPU) mulai 2023.

Mengenai Festival Kerjaya ILKBS, katanya, ia bagi merancakkan pembabitan belia dalam pasaran kerja seiring usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara dan memperkasa pendapatan isi rumah khususnya golongan asnaf, B40 dan M40.

"Terdapat 1,280 kekosongan jawatan ditawarkan membabitkan 23 industri. Belia turut didedahkan dengan peluang latihan di 22 institusi TVET dalam 14 bidang kemahiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 9:43 PM