Ahmad Zahid menyatakan pendirian Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Zahid menyatakan pendirian Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel ketika persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Makmal sijil halal yang ada akan dinaik taraf bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam pensijilan halal terutama daripada kalangan lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu penting bagi memperkasa industri halal negara yang kini menyediakan lebih 25,000 peluang pekerjaan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata pensijilan halal akan diberi tumpuan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini kerana industri halal mempunyai potensi lebih AS$1.3 trilion dan Malaysia perlu terus menjadi negara yang menguasainya di peringkat antarabangsa.

"Tunggulah pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (mengenai industri halal dalam Belanjawan 2024 nanti)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Halal on Track di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di sini hari ini.

Program julung kali diadakan itu menghimpunkan lebih 2,000 usahawan industri halal dan ia adalah cetusan idea Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Mengenai cadangan supaya tempoh proses pengeluaran pensijilan halal dipendekkan daripada 30 hari kepada 23 hari, Ahmad Zahid berkata uji kaji akan dijalankan tanpa sebarang kompromi daripada segi kualiti dan beberapa piawaian yang ditetapkan.

Ahmad Zahid berkata langkah proaktif memendekkan tempoh proses pengeluaran pensijilan halal Jakim yang diterima di seluruh dunia selain diiktiraf antara sijil halal terbaik akan membawa imej baharu kepada Malaysia.

Katanya sijil halal Malaysia mendapat pujian seluruh dunia kerana negara ini mempunyai beberapa pendekatan saintifik dalam pengujian bukan sahaja terhadap produk makanan dan minuman tetapi farmaseutikal, perbankan, insurans dan perkhidmatan lain.

Program Halal on Track melibatkan wilayah tengah, utara, selatan, Sabah dan Sarawak diadakan bertujuan membantu pemain industri di Malaysia agar memahami dengan lebih mendalam proses permohonan sijil halal Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 2:23 PM