KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Hairol Ariffein Sahari.
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Hairol Ariffein Sahari.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Pembentangan Belanjawan 2021 perlu memberi penekanan terhadap usaha melahirkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam industri halal untuk mendapat pensijilan halal sekaligus menembusi pasaran eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata, kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan perlu membantu PKS yang menawarkan produk serta perkhidmatan halal untuk mendapat pensijilan halal dengan mudah.

"Setakat tahun ini 7,000 daripada 200,000 PKS saja yang mempunyai sijil halal. Kerajaan perlu bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Standard Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mencari penyelesaian berkaitan proses pensijilan halal dan bagaimana menjadikannya lebih mesra industri," katanya.

Menurutnya, pasaran produk dan perkhidmatan halal di peringkat global AS$3.1 trilion (RM12.9 trilion) dengan Malaysia mencatat nilai eksport berjumlah AS$10 bilion (RM41.5 bilion) pada 2019.

"Jika lebih banyak lagi PKS yang mempunyai sijil halal, sudah pasti ia mampu meningkatkan lagi pasaran eksport sekaligus menjadikan mereka pemain industri yang berjaya," katanya.

Pada tahun lalu, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform kepada peserta pasaran untuk bersaing di pasaran halal antarabangsa.

Dalam pada itu, Hairol turut menekankan untuk meningkatkan keperluan modal insan dan tenaga pakar dalam industri halal dalam Belanjawan 2021.

"Hanya sekitar 20,000 individu terlatih dalam pengurusan industri halal dalam program berkaitan industri halal seperti bioteknologi, teknologi makanan, biomedikal. Kepakaran mereka diperlukan dalam memberi perkhidmatan untuk meningkatkan integriti halal pada rantaian bekalan yang membantu pertumbuhan ekosistem halal secara keseluruhan," katanya.

Hairol berkata, ia juga dapat memberi peluang pekerjaan yang baik kepada mereka selain berpeluang berkhidmat dengan syarikat halal yang berada di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 6:57 AM