AHMAD Zahid bersama Tengku Datuk Seri Zafrul (dua dari kanan) ketika Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Pembangunan Industri Halal Bil.1/2024, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
AHMAD Zahid bersama Tengku Datuk Seri Zafrul (dua dari kanan) ketika Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Pembangunan Industri Halal Bil.1/2024, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Iskandar Ibrahim


Sepang: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan tahap guna pakai 14 Taman Perindustrian Halal Malaysia di seluruh negara yang hanya merekodkan sekadar 11 peratus sejak 2009.

Beliau berkata, jumlah itu terlalu rendah berbanding 5,665.6 hektar yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan.

"Apa kita bincangkan tadi mengenai soal kerajaan negeri yang peruntukan kira-kira 13,000 ekar (5,665.6 hektar) tanah untuk membangunkan industri halal tetapi hanya 11 peratus sahaja dibangunkan.

"Ertinya kerajaan negeri komited untuk penyediaan industri halal tetapi mungkin di sana terdapat beberapa kekangan dari segi pembangunan khususnya daripada syarikat pengeluar halal itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Bil 1/2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Khairul Azwan Harun.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi mengkoordinasi serta mencari penyelesaian berhubung isu berkenaan.

Ditanya apa kekangan dihadapi sehingga Taman Perindustrian Halal Malaysia tidak digunakan sepenuhnya, beliau berkata pelbagai masalah dinyatakan antara insentif tidak mencukupi serta infrastruktur yang ketinggalan.

"Jadi saya akan lakukan tindakan 'hands on' untuk mengetahui apa masalah sebenarnya. 11 peratus di seluruh negara, setiap negeri ada satu. Ada 14 tempat, di Perak umpamanya di Lekir dan paling besar di Sarawak," katanya.

Ahmad Zahid berkata, angka 11 peratus itu terlalu rendah sedangkan pasaran halal dunia bernilai AS$3 trilion dengan peluang yang ditawarkan begitu luas.

"Jadi MITI berusaha dengan HDC untuk menerobos pasaran antarabangsa kerana hanya 81 peratus daripada produk halal ini tertumpu kepada sektor makanan dan minuman (F&B) sedangkan banyak lagi produk halal yang boleh kita tumpu seperti farmaseutikal dan kosmetik, tetapi kita hanya tumpu hal itu (F&B) dan akhirnya hanya dapat kuasai pasaran tempatan.

"Kita mahu kuasai pasaran antarabangsa tetapi jangan berakhir sebagai jaguh kampung, kita menghormati produk seperti sambal cili, kicap tetapi ini untuk lokal dan penggunaan tempatan, kita mahu pergi pasaran antarabangsa," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat terbabit meluluskan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030) yang bertujuan meningkatkan pembangunan industri halal lebih inklusif di bawah kerangka pembangunan sosio-ekonomi nasional.

Pelan terbabit menggariskan enam indikator sasaran merangkumi tujuh teras strategik dan 23 Inisiatif sebagai asas panduan pelaksanaan bersepadu serta berkesan.

"Antara tindakan susulan yang dilaksanakan adalah pembangunan Dasar Halal Negara 2025-2035 oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan tujuan mendukung usaha memperkasa ekosistem Pensijilan Halal ke arah lebih kondusif, inklusif serta berdaya maju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 5:42 PM