ANWAR (tiga, kiri) menyampaikan peruntukan Program Pembangunan Usahawan dan Agromakanan Risda Negeri Kedah berjumlah RM3.8 juta kepada wakil Usahawan pada perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dataran Amanjaya Mall, hari ini. FOTO Bernama.
ANWAR (tiga, kiri) menyampaikan peruntukan Program Pembangunan Usahawan dan Agromakanan Risda Negeri Kedah berjumlah RM3.8 juta kepada wakil Usahawan pada perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dataran Amanjaya Mall, hari ini. FOTO Bernama.
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited dalam usaha memperkasakan usahawan desa terutama dalam industri halal global di seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usahawan desa perlu merebut peluang yang kini terbuka luas untuk mereka berikutan kebolehan pasaran industri halal yang dijangka bernilai US$5 trilion (kira-kira RM22.6 trilion) menjelang 2030.

"Saya pohon usahawan desa ambil peluang ini bukan hanya untuk pasaran tempatan tetapi juga luar negara. Untuk mempertingkatkan diri daripada usahawan mikro, kecil dan sederhana seterusnya hasil produk yang boleh dieksport.

"Terokai, cuba masuk pasaran antarabangsa. Saya sebagai Pengerusi Majlis Halal Malaysia, apa yang kita boleh lakukan membantu usahawan desa ini. Kita ingin pastikan produk halal kita berada di peringkat antarabangsa.

"Kita berusaha dengan MITI mewujudkan rangkaian bukan saja di rantau ini tetapi di seluruh dunia. Untuk tahun ini kita dapati unjuran pasaran makanan kita cukup besar malah pada 2030 sebanyak US$5 trilion (RM22.6 trilion) adalah pasaran untuk produk halal ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Amanjaya di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pihaknya turut akan kerjasama dengan kementerian lain termasuk agensi di bawahnya untuk merealisasikan usaha berkenaan termasuk memberi bimbingan dan latihan kepada usahawan terbabit.

"Bantuan ini bukan sekadar usahawan mikro kerana keutamaan KKDW adalah kepedulian menaik taraf mereka. Kita tahu dalam keadaan sekarang hanya lebih sedikit 30 peratus negara kita yang padat di pinggir bandar dan bandar.

"Atas sebab itu KKDW diberi peruntukan lebih RM11.6 bilion untuk luar bandar yang bererti kita tidak pernah pinggirkan masyarakat desa di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 3:48 PM