PEMANDANGAN di sekitar Kuala Lumpur semalam yang terjejas akibat situasi berjerebu. FOTO Bernama
PEMANDANGAN di sekitar Kuala Lumpur semalam yang terjejas akibat situasi berjerebu. FOTO Bernama
Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (Jas) meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) juga sudah diaktifkan.

"Perkara berkenaan bagi menyelaras tindakan daripada agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

"Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

"Langkah pencegahan perlu dilakukan bagi membendung aktiviti pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

"Semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska perlu ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.

"Susulan daripada itu, pihak sekolah, tadika serta taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU dan sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup institusi pendidikan terbabit," katanya.

Katanya, operasi pembenihan awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

"Jas bersama kementerian dan setiap agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam PTJK," katanya.

Sementara itu, sebanyak 19 stesen udara di lapan negeri merekodkan bacaan IPU tidak sihat petang ini berbanding 18 stesen pagi tadi.

Berdasarkan kemas kini laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 4 petang tadi, Nilai, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi iaitu 162 diikuti Bukit Rambai, Melaka 161.

Turut merekodkan IPU tidak sihat adalah Cheras (155), Putrajaya (151), Shah Alam (106), Klang (139), Banting (152), Seremban (137), Port Dickson (155), Alor Gajah (153), Bandaraya Melaka (153), Segamat (152), Batu Pahat (160), Larkin (151), Tangkak (153), Rompin (115), Indera Mahkota Kuantan (103), Kemaman (109), Paka (116).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 7:56 PM