Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini semakin baik berikutan tiada stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat, hari ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, sebanyak 26 stesen di seluruh negara mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 42 stesen lagi merekod kualiti udara tahap sederhana setakat 11 pagi tadi.

Menurutnya, berdasarkan laporan Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, tiada titik panas (hotspot) dikesan di dalam negara.

"Imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) pula menunjukkan terdapat 23 titik panas dikesan di Sumatera (Indonesia) dan 22 titik panas di Kalimantan, Indonesia tetapi tiada titik panas di dalam negara dikesan.

"Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC semalam juga menunjukkan taburan titik panas dan keadaan berjerebu semakin berkurangan di Kalimantan dan Sumatera disebabkan hujan di sebahagian besar kawasan Asean Selatan.

"Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) akan sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa bagi memastikan NRECC dan agensi-agensi terlibat dengan pengurusan bencana jerebu dapat bertindak dengan lebih cepat dan responsif," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini, hari ini.

Terdahulu, perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan disempurnakan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff turut mengingatkan orang ramai khususnya pemilik tanah supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan berlaku pencemaran udara serta jerebu setempat.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.

"Semua pemilik tanah disarankan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mereka juga boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atas setiap kesalahan seperti yang termaktub dalam Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Katanya, JAS komited menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 4:15 PM
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, (kiri) melawat pameran selepas Pelancaran Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan, di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, (kiri) melawat pameran selepas Pelancaran Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan, di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN