HARIMAU Kumbang yang berjaya ditangkap Perhilitan Negeri Sembilan di Kuala Pilah, baru-baru ini. FOTO Ihsan pembaca.
HARIMAU Kumbang yang berjaya ditangkap Perhilitan Negeri Sembilan di Kuala Pilah, baru-baru ini. FOTO Ihsan pembaca.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan mengambil tindakan proaktif termasuk melaksanakan siasatan dari udara menggunakan dron bagi mengenalpasti punca konflik spesies harimau kumbang.

Pengarahnya, Nurul Ermi Ramli, berkata tindakan proaktif itu diambil susulan beberapa aduan penduduk yang bimbang dengan keselamatan termasuk ternakan yang dipelihara.

Katanya, kakitangannya juga membuat rondaan berkala di sekitar kawasan aduan bagi mengelakkan dari berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Sebelum ini, Perhilitan menerima beberapa aduan berkenaan ancaman harimau kumbang terutama di Kuala Pilah dan Rembau.

"Beberapa kejadian berlaku seperti harimau kumbang membaham anjing penjaga kebun di halaman rumah pengadu di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah pada 4 September lalu.

"Susulan itu tindakan memasang perangkap harimau kumbang dilakukan selain melakukan rondaan secara berkala termasuk menggunakan dron, bagi mengenalpasti punca konflik spesies binatang ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui tindakan berkenaan, pihaknya berjaya memerangkap tiga ekor harimau kumbang pada 18 dan 27 September serta pada 1 Oktober lalu.

"Binatang berkenaan yang berjaya ditangkap akan dirawat oleh doktor veterinar Perhilitan.

"Harimau kumbang yang sihat akan dilepaskan ke hutan tebal habitat asalnya yang jauh dari penempatan manusia, manakala yang memerlukan rawatan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak," katanya.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa kerajaan negeri memberi perhatian serius susulan kekerapan aduan membabitkan harimau kumbang yang dikesan berlaku di beberapa daerah kebelakangan ini.

"Dalam kita ingin menjaga populasi harimau kumbang ini, kita juga kena jaga keselamatan (penduduk) dan juga ternakan yang mereka bela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 2:07 PM