KAKITANGAN Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan sedang memasang perangkap harimau kumbang di kawasan sekitar Kampung Tengah Kuala Pilah. FOTO Ihsan Perhilitan
KAKITANGAN Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan sedang memasang perangkap harimau kumbang di kawasan sekitar Kampung Tengah Kuala Pilah. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Hampir tiga minggu sudah berlalu namun harimau kumbang yang membaham lembu milik penduduk di Kampung Tengah Seri Menanti, Kuala Pilah, di sini, masih gagal diperangkap.

Sehingga kini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan terus memantau pergerakan harimau kumbang berkenaan.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, pemantauan dilakukan bagi memastikan keselamatan penduduk selain mengelak kegiatan pemburuan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, pihaknya sudah memasang perangkap sejak 14 November lalu iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir harimau bintang itu dilihat penduduk.

"Kami akan terus memantau supaya harimau bintang yang didakwa membaham dua ekor lembu di Kampung Tengah Kuala Pilah baru-baru ini itu, dapat ditangkap.

"Setakat ini, kami belum dapat mengesan dan menemui petunjuk kerana binatang berkenaan sentiasa bergerak di sekitar kawasan habitatnya untuk mencari makan.

"Apa yang kami khuatir kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab memburu hidupan liar yang dilindungi ini mendapatkan keuntungan," katanya semalam.

Baru-baru ini, ramai penduduk di sekitar perkampungan berkenaan mendakwa melihat kelibat haiwan kumbang di sekitar kampung itu menyebabkan mereka bimbang akan keselamatan masing-masing.

Mengulas lanjut, Wan Mat berkata, penduduk tidak perlu bimbang dengan kelibat harimau kumbang itu kerana binatang berkenaan tidak akan mengancam keselamatan mereka.

Beliau berkata, sebagai langkah proaktif, penduduk dinasihatkan tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran bebas kerana ia akan mendorong harimau kumbang itu keluar mencari mangsa.

Berita berkaitan

Harimau kumbang baham lembu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 7:36 PM