KELIBAT harimau kumbang di kawasan parkir UiTM Kuala Pilah pada 22 Julai lalu tular di laman sosial. FOTO tular media sosial
KELIBAT harimau kumbang di kawasan parkir UiTM Kuala Pilah pada 22 Julai lalu tular di laman sosial. FOTO tular media sosial
Amran Yahya


KELIBAT harimau kumbang berlegar-legar di kawasan parkir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah pada Rabu lalu, kini tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Justeru, sebagai langkah keselamatan pihak pentadbiran UiTM Kuala Pilah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) berhubung kemunculan ini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat UiTM Negeri Sembilan, Mumtaz Ahmad berkata, kejadian berlaku pada 7 malam apabila harimau berkenan dilihat berlegar-legar antara lima hingga 10 minit.

"Seorang kakitangan UiTM yang ketika itu baru selesai bertugas ternampak binatang itu lalu merakam gambarnya sebelum ia tular di laman sosial.

"Bagaimanapun , kami mengambil langkah sewajarnya terutama dalam soal keselamatan kakitangan UiTM dengan melakukan pemantauan secara kerap oleh polis bantuan UiTM," katanya ketika dihubungi.

Mumtaz berkata, Perhilitan turut membuat pemantauan sebelum tindakan lanjut dibuat.

Beliau berkata, ketika ini tiada pelajar di kampus dan kejadian itu pertama kali berlaku sejak kampus berkenaan dibuka pada 2009.

Terdahulu, tular di Facebook dan Twitter berhubung kemunculan seekor harimau kumbang di UiTM Kuala Pilah sejak semalam.

Pelbagai reaksi diberikan netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa bimbang dan kejadian itu turut mendapat respon daripada Persatuan Haiwan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 7:28 PM