MUMTAZ menunjukkan lokasi dua harimau kumbang yang dilihatnya di kebun bersebelahan rumah ibu saudaranya di Kampung Batu Chondong, Juasseh. FOTO Ahmad Hasbi
MUMTAZ menunjukkan lokasi dua harimau kumbang yang dilihatnya di kebun bersebelahan rumah ibu saudaranya di Kampung Batu Chondong, Juasseh. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Harimau kumbang muncul lagi di Negeri Sembilan. Kali ini, dua haiwan liar berkenaan dilihat penduduk di sebuah kebun berhampiran kediaman penduduk di Batu Condong, Juasseh Tengah, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, kehadiran harimau berkenaan disedari penduduk selepas terdengar salakan anjing yang dipelihara untuk menjaga ternakan dan kebun.

Mumtaz Ahmad, 36, berkata, mereka sekeluarga yang berada di dalam rumah ketika kejadian kemudiannya menyuluh ke arah kebun sebelum ternampak haiwan berkenaan kira-kira 100 meter dari kediamannya.

"Harimau itu berlegar-legar di kawasan berkenaan selama kira-kira 15 minit sebelum perlahan-lahan beredar. Kami semua sangat cemas kerana dapat melihatnya dengan jelas.

"Sehari sebelumnya, kami sekeluarga juga ternampak seekor harimau kumbang berlegar-legar berhampiran kawasan kebun jam 6.30 petang dan tidak menyangka haiwan yang sama datang kali kedua bersama seekor lagi harimau," katanya ketika ditemui.

Mumtaz berkata, sudah tujuh ekor kambing milik mereka 'lesap' antara Mac hingga 11 September lalu dan percaya ia berkemungkinan besar menjadi makanan harimau kumbang.

"Kami bimbang akan keselamatan keluarga lebih-lebih terdapat kanak-kanak yang tinggal di rumah ini. Kami bimbang jika haiwan itu menghampiri rumah kerana tertarik dengan ternakan dipelihara.

"Walaupun kediaman kami berpagar, keupayaan haiwan itu tidak boleh dijangka sama sekali," katanya yang membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun mengesahkan pihaknya menerima aduan berkenaan dan mengarahkan kakitangannya memasang satu perangkap kamera bagi mengesan harimau kumbang di kawasan kebun pengadu, semalam.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada binatang berkenaan adalah harimau kumbang susulan hanya menemui tapak musang sahaja di lokasi.

Harian Metro pada 29 September melaporkan Perhilitan memasang perangkap di Kampung Anak Air Durian Daun, Pondoi, Tampin, selepas penduduk mendakwa tiga kambing milik dibaham harimau kumbang dalam kejadian tengah malam 2 September lalu.

Pada 2 Oktober lalu, Harian Metro turut melaporkan penduduk di Taman Seremban 3, Seremban, terdengar ngauman harimau kumbang sebelum melaporkan kejadian kepada Angkatan Pertahanan Awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 9:21 AM