Ahmad Fazlan Mohd Zubir kini lumpuh seluruh badan dan sepenuhnya pada ibunya, Salbiah Mohd Salleh menguruskan dirinya. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Ahmad Fazlan Mohd Zubir kini lumpuh seluruh badan dan sepenuhnya pada ibunya, Salbiah Mohd Salleh menguruskan dirinya. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Kehidupan saya kini hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas dan hanya terlantar akibat lumpuh dipercayai kerana kerosakan saraf tunjang."

Begitu kata bekas operator kilang Ahmad Fazlan Mohd Zubir, 31, yang mengalami lumpuh dari leher ke bawah selepas terjatuh ketika mahu turun dari motosikal, tahun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian itu, badan dan anggota lain dirasai terlalu lemah dan dia tidak mampu berdiri selain rasa sakit bahagian pinggang.

Katanya, dia kemudian membuat rawatan tradisional bagi mengurangkan kesakitan pada bahagian pinggang selain bagi menguatkan semula anggota badan yang ketika itu semakin lemah.

"Selepas menerima rawatan urutan, badan saya bertambah lemah hingga tidak mampu berjalan lalu keluarga membawa saya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk membuat pemeriksaan selepas keadaan semakin serius.

"Saya menerima rawatan selama lapan bulan di wad selain terpaksa menjalani pembedahan dari tengkuk hingga tulang belakang sepanjang kira-kira 55 sentimeter (sm) bagi membuang nanah," katanya yang kini tinggal bersama ibunya, Salbiah Mohd Salleh, 50, di Taman Sungai Karang Dua Bypass, di sini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, doktor menyatakan terdapat nanah pada tulang belakang, tengkuk dan punggung yang menganggu saraf selain berlaku jangkitan kuman sehingga menyebabkannya kini lumpuh.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan doktor untuk mengubati penyakitnya, namun sehingga kini masih tidak berhasil.

"Saya turut mengalami masalah pernafasan hingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan 24 jam, selain sukar makan kerana masalah saluran pernafasan.

"Hidup saya kini sepenuhnya hanya bergantung pada susu khas yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya.

Menurutnya, dia hanya boleh bercakap sahaja dan bergantung sepenuhnya kepada ibunya untuk menguruskan dirinya.

Katanya, dia yang menerima bantuan daripada Perkeso dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menjalani pemeriksaan serta rawatan selain fisioterapi di HTAA, setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 1:07 PM